Hari terakhir saya’
KERTEH – “Ini adalah hari terakhir saya.”
Itulah kata-kata seorang juruteknik ketika menghantar kad pekerja di pejabatnya di Kawasan Perindustrian Kerteh sebelum dia maut beberapa jam kemudian selepas motosikal Yamaha 125 yang ditunggangnya terbabas, dan merempuh pagar besi pengadang jalan dalam kejadian di Kilometer 117, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kompleks Rantau Petronas, petang kelmarin.
Rupa-rupanya, kata-kata itu mempunyai makna tersirat kerana ia seolah-olah menjadi petanda mangsa, Ahmad Nawawi Awang, 21, yang juga anak bongsu daripada sembilan beradik akan pergi buat selama-lamanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang berasal dari Kampung Baru Kerteh meninggal dunia di Klinik Kesihatan Kerteh kerana mengalami kecederaan organ dalaman yang serius, iaitu pecah hati dan patah tulang rusuk.
Baru kematian ibu Januari lalu
Mangsa meninggal dunia kerana mengalami kecederaan organ dalaman yang teruk
Abang mangsa, Abu Yamin Awang, 36, berkata, kira-kira jam 1 tengah hari iaitu beberapa jam sebelum kemalangan itu, perlakuan adik bongsunya itu agak pelik.
Dia yang bekerja di tempat sama dengan arwah adiknya berkata, ketika menghantar kad pekerja kerana telah tamat bekerja sebagai juruteknik kontrak di kilang berkenaan, arwah adiknya sempat berkata itu adalah hari terakhirnya.
“Saya tak sangka kata-kata itu ‘dalam’ maknanya. Semalam (kelmarin) arwah hanya bekerja separuh hari. Selepas hantar kad pekerja, dia pulang untuk mandi sebelum dia bersama rakannya berkonvoi dari Kerteh dengan menunggang motosikal untuk ke Chukai.
“Saya difahamkan, dia berkonvoi bersama tiga motosikal rakannya dan dia menunggang di belakang. Bagaimanapun ketika tiba di kawasan lampu isyarat di Rantau Petronas, rakannya pelik kerana arwah tiada di belakang sebelum mereka dihubungi dan diberitahu arwah dikejarkan ke klinik,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Kerteh, semalam.
Abu Yamin yang juga anak ketiga berkata, kehilangan adik bongsunya itu adalah dugaan yang cukup besar kepadanya dan adik beradik lain, apatah lagi mereka sekeluarga baru sahaja kehilangan ibu pada Januari lalu akibat penyakit kencing manis, manakala bapa mereka pula meninggal dunia enam tahun lalu.
Ditanya mengenai perubahan sikap arwah, menurut juruteknik itu, beberapa hari sebelum kejadian adiknya yang baru sahaja tamat belajar di Ranaco Education and Training Institut (Reti), Jakar dan menerima diploma pada April lalu kelihatan cukup gembira dan banyak bercakap, berbeza berbanding sebelum ini.
“Dia memang seorang yang ceria dan banyak bercakap, tetapi beberapa hari lalu dia lagi banyak cakap terutama dengan saya yang bekerja sekali dengannya.
“Sepatutnya arwah yang tinggal bersama dua kakaknya di rumah pusaka arwah ibu dan ayah menyertai Karnival Remaja 2011 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik yang berlangsung hari ini (semalam) dan esok (hari ini) di Kerteh, tetapi hasratnya tidak kesampaian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kejadian itu berkata, motosikal yang ditunggang mangsa gagal dikawal ketika tiba di selekoh di lokasi kejadian sebelum terbabas dan melanggar pagar besi pengadang jalan,
mengakibatkan mangsa tercampak beberapa meter dan motosikalnya remuk teruk di bahagian hadapan.
“Mangsa meninggal dunia sejurus tiba di Klinik Kesihatan Kerteh. Mangsa dihantar ke klinik oleh orang awam. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
“Hasil bedah siasat didapati mangsa meninggal dunia kerana mengalami kecederaan organ dalaman yang teruk,” katanya.
Al-Fatihah untuk Adik Awie, Adik kepada Izu
Sumber Sinar Harian (sisipan Terengganu)
No comments:
Post a Comment