PERANAN ZIKIR DALAM MEMBENTUK SAHSIAH
Zikir merupakan satu amalan yang sangat berkesan dan berperanan besar dalam pembentukan sakhsiah muslim. Sakhsiah yang baik hanya terbina dan terbentuk dengan terbinanya hati yang menjadi wadah keimanan dan ketaqwaan. Oleh itu untuk membina sakhsiah muslim yang baik, pembersihan dan penyucian hati perlu diberikan tumpuan dan keutamaan sebagaimana yang dapat dilihat pertunjuknya dalam hadis di mana Nabi s.a.w. bersabda:
أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Maksudnya: Ketahuilah bahawa dalam badan manusia ada segumpal darah, apabila ia baik maka baiklah seluruh badan, apabila ia rosak maka rosaklah seluruh badan, ketahuilah bahawa ia adalah hati.[23]
Penelitian terhadap ayat-ayat al-Qur’an dan hadis yang menyentuh tentang persoalan zikir mendapati bahawa ia adalah amalan penyuci hati, pembuka hijab rohani, penguat keimanan, penghapus kemunafiqan, pemadam gelora nafsu, penghalau gangguan syaitan dan sebagainya.
1-Zikir adalah pengilap dan penyuci hati
Antara peranan zikir ialah menggilap dan menyucikan hati daripada kekotoran sifat tercela. Perkara ini dapat dilihat antaranya pada firman Allah;
الَّذِينَ آَمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.[24]
Hati akan mencapai hakikat ketenteraman, ketenangan dan kebahagian setelah ia dapat dibersih dan disucikan dan penyakit-penyakitnya dapat dibuang. Perkara ini hanya tercapai menerusi dhikrullah seperti yang dinyatakan dalam ayat tersebut.
Demikian juga perkara ini dinyatakan dalam beberapa hadis Nabi s.a.w. Antaranya ialah hadis yang bermaksud “hendaklah engkau berdhikr Allah dan membaca kitabNya sesungguhnya ia adalah nur (hidayah) bagi engkau di dunia ini dan kemasyhuran bagi engkau di langit”,[25] hadis yang bermaksud “dhikr Allah itu adalah penyembuh bagi hati”[26] dan hadis yang bermaksud “sesungguhnya hati ini berkarat sebagaimana besi berkarat. Baginda ditanya: Wahai Rasulullah, apakah pengilapnya. Baginda menjawab: Mengingati kematian dan membaca al-Qur’an”.[27]
Hadis pertama menyatakan bahawa zikir dan membaca al-Qur'an itu adalah nur hidayat yang menerangi hati. Dengan terhasilnya nur tersebut di dalam hati maka sifat-sifat kecelaan yang bersarang di dalamnya akan terhapus dan hati menjadi bersih serta bersinar dengan nur hidayat tersebut. Hadis kedua pula menyebut bahawa zikir itu adalah penyembuh bagi penyakit-penyakit hati yang maknawi iaitu sifat-sifat kecelaan yang bersarang di dalamnya. Manakala hadis ketiga pula menjelaskan bahawa mengingati kematian dan membaca al-Qur’an yang juga merupakan sebahagian dari zikir, adalah menjadi pengilap bagi hati yang berkarat dengan sifat-sifat kecelaan. Oleh itu jelas bahawa zikir merupakan penyembuh bagi hati dan pengikis sifat-sifat kecelaan yang ada padanya.
2-Zikir adalah penyedar hati yang lalai dan pendorong kepada taubat
Zikir juga berperanan menyedarkan hati yang lalai. Ini kerana orang yang telah melakukan kejahatan, kemudian dia ingat kepada Allah, maka dia akan mengalami kesedaran jiwa (intibah). Dia akan menyedari kesilapan, dosa, keaiban dan kejahatan dirinya. Ini akan mendorongnya untuk bertaubat dan tidak lagi meneruskan atau mengulangi kesilapan yang telah lalu. Perkara ini dapat dilihat dalam firman Allah:
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Dan orang-orang yang apabila mereka telah melakukan perkara keji atau menzalimi diri mereka sendiri, lalu mereka ingat akan Allah, maka mereka terus meminta keampunan bagi dosa-dosa mereka, dan tiada yang mengampunkan dosa kecuali Allah, dan mereka tidak meneruskan lagi apa yang telah mereka lakukan, sedangkan mereka itu mengetahui.[28]
Ayat ini dengan jelas memperlihatkan pengaruh atau kesan zikir ke atas orang yang melakukan dosa dan kesalahan. Dengan teringatkan Allah, seseorang itu mendapat kesedaran yang mendorongnya untuk beristighfar dan bertaubat. Sebaliknya orang yang melakukan kejahatan dan tidak ingat kepada Allah, maka dia tidak mahu bertaubat dan beristighfar kepada-Nya, kerana dia tidak merasai kesedaran tentang dirinya dan apa yang telah dilakukannya. Lantaran itu dia berterusan melakukan perbuatan yang jahat sehingga dia tergolong dalam golongan orang-orang yang fasiq sebagaimana firman Allah:
وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ نَسُوا اللَّهَ فَأَنْسَاهُمْ أَنْفُسَهُمْ أُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya: Dan janganlah kamu jadi seperti orang-orang yang lupakan Allah, maka Dia (Allah) melupakan mereka terhadap diri mereka sendiri, mereka itulah orang-orang yang fasiq.[29]
Lupakan Allah itu akan menjadikan seseorang itu lupa akan dirinya sendiri dengan tidak mengingati dan menyedari kesalahan dan kesilapan dirinya. Dia akan terus melakukan kesalahan dan dosa dengan tidak bertaubat sehingga dia menjadi seorang yang fasiq.
3-Zikir adalah penghapus dorongan hawa nafsu
Zikir berperanan menghapuskan dorongan hawa nafsu jahat yang menguasai diri sehingga seseorang terdorong melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan suruhan agama. Ini terjadi apabila zikir menjadi teguh dan menguasai diri manusia, maka di kala itu dorongan-dorongan melakukan kejahatan akan terhapus. Berkait dengan persoalan ini Nabi s.a.w. bersabda:
سَبَقَ الْمُفْرِدُونَ قَالُوا وَمَا الْمُفْرِدُونَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الْمُسْتَهْتَرُونَ فِي ذِكْرِ اللَّهِ يَضَعُ الذِّكْرُ عَنْهُمْ أَثْقَالَهُمْ فَيَأْتُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِفَافًا
Maksudnya: Sesungguhnya golongan mufarridun telah mendahului. Siapa mufarridun itu wahai Rasulullah?. Baginda bersabda: Iaitu mereka yang asyik dalam dhikrullah yang mana zikir itu telah meletakkan (meringankan/melepaskan) bebanan mereka, maka mereka akan datang pada hari kiamat dalam keadaan ringan”.[30]
Mengenai hadis ini al-Dahlawi menjelaskan bahawa apabila nur zikir memasuki akal mereka (golongan mufarridun/orang-orang yang asyik dengan zikir) dan penumpuan kepada jabarut (sifat-sifat keagungan Allah) terukir dalam diri mereka, maka sifat kebinatangan akan terhalang, gelora keinginannya akan terpadam dan bebanan mereka (di akhirat) akan hilang.[31] Hilangnya bebanan mereka di akhirat ialah kerana terpadamnya keinginan nafsu yang menyuruh seseorang itu melakukan perkara kejahatan sehingga dia tidak berkeinginan dan berkecenderungan untuk melakukannya.
4-Zikir adalah pengukuh keimanan
Zikir juga berperanan mengukuhkan dan memantapkan keimanan seseorang. Ini kerana keimanan seseorang itu akan menjadi malap kalau tidak diperbaharui dan diperteguhkan. Pengukuhan keimanan itu ialah dengan cara menanam pengertian tauhid ke dalam jiwa menerusi jalan zikir kalimah tauhid. Perkara ini dapat dilihat pada pesanan Nabi s.a.w. kepada para sahabat sebagaimana sabda baginda:
جددوا ايمانكم قيل يا رسول الله وكيف نجدد إيماننا قال أكثروا من قول لا إله إلا الله
Maksudnya: Perbaharuilah iman kamu. Baginda ditanya: Wahai Rasulullah, bagaimana kami dapat memperbaharui iman kami? Baginda bersabda: Perbanyakkanlah menyebut La Ilaha Illallah.[32]
5-Zikir adalah penghapus hijab rohani dan pembuka jalan ma`rifat
Zikir juga berperanan menghapuskan hijab rohani dan membuka jalan ma`rifat. Menyebut, memahami, meyakini dan mengingati kalimah tauhid dalam keadaan penuh keikhlasan akan membawa kepada pembukaan pintu ma`rifat sehingga sampai ke tingkatan `Arash. Mengenai perkara ini Nabi s.a.w. bersabda:
مَا قَالَ عَبْدٌ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ قَطُّ مُخْلِصًا إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ السَّمَاءِ حَتَّى تُفْضِيَ إِلَى الْعَرْشِ مَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ
Maksudnya: Seseorang itu tidak menyebut La Ilaha Illallah dalam keadaan ikhlas kecuali dibukakan baginya pintu-pintu langit sehingga membawa kepada `Arash selama mana dia menjauhi dosa-dosa besar.[33]
Kesan-kesan zikir seperti yang dijelaskan ini menjurus kepada penyucian jiwa dan pengukuhan keimanan dan ketaqwaan dan seterusnya pembinaan sakhsiah muslim yang berqualiti.
No comments:
Post a Comment